Followers

Thursday, 21 June 2012

Susah ke nak berubah?



Pasti dalam diri kita pasti pernah terdetik untuk berubah. penjenayah se'brutal' mana pun pasti dalam suatu saat dalam hidupnya ingin berubah. Mahu berubah ke arah mana? Berubah ke arah kebaikan. Apabila kita ada rasa ingin berubah atau melihat orang yang berada dalam keadaan ingin berubah ini, suka diingatkan untuk kita, janganlah kita menganggap refleksi itu sebagai ‘buang tabiat’ sebaliknya hendaklah kita fahami dengan yakin, bahawa itulah sebenarnya fitrah.

Mari kita sama-sama bermuhasabah, bagaimana kita melayan dosa-dosa kita? bagaimana kita melayan kesilapan-kesilapan lalu kita. Adakah kita menganggap dosa itu satu perkara kecil? Hingga kita melengah-lengahkan taubat kita kepada Allah SWT? Apakah kita menganggap, dosa itu satu perkara yang bersih, sehingga kita tidak tergerak untuk mencucinya segera?


 Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang menyucikan diri” (Al-Baqarah :ayat 222)

Kalau najis, kita berusaha menyisihkannya dari diri kita. tahi cicak sekalipun, apabila kita nampak di dalam rumah, di atas masjid, kita akan menyapu buang. Jangan kata perkara najis, perkara yang tak najis, macam kertas bersepah, pun kita akan usaha kemas. Apabila kita terkena kotoran najis, kita pasti merubah tempat yang dicemari najis itu dengan kebersihan agar kita berasa lebih yakin dan suci dari kekotoran najis tersebut kan? kita pasti akan cuci dan sental najis itu sehingga hilang segala kotoran.

Tapi bagaimana diri kita? bab dosa ini. Memang tidak dapat dinafikan antara kita yang mungkin tidak pernah melakukan dosa. Tapi bagaimana kita yang berdosa ini melihat dosa itu yang penting. Pesan pada diri kita, jangan biarkan diri kita ini melihat dosa itu ibarat bulu ayam yang hinggap pada hidung, tiup sikit dan bulu itu terus terbang. Tetapi, pandanglah dosa itu seperti gunung yang akan menghempap kita dengan najis yang jijik dan memualkan.



Setiap anak adam pasti pernah berbuat dosa dan sebaik-baik orang yang berbuat dosa adalah orang-orang yang bertaubat” (HR.Tirmidzi dan Ibnu Majah)


Pakaian yang kotor akan menjadikan manusia gelisah. Pakaian yang bersih pula akan menjadikan manusia merasa tenang dan tidak gundah. Pilihan sentiasa ada di tangan kita. Selagi Allah masih meminjamkan oksigen kepada kita, selagi Allah masih meminjamkan jasad untuk kita, selagi Allah masih meminjamkan nyawa untuk kita, peluang dan ruang untuk berubah itu sentiasa ada.

Bayangkan jika kita sudah terjerumus di kawasan lumpur, adakah kita mahu membiarkan lumpur-lumpur yang terlekat di badan begitu sahaja tanpa ada rasa mahu membersihkannya? Pasti anda mahu menyucikannya bukan? Oleh itu, marilah kita bersihkan diri kita daripada lumpur-lumpur dosa kerana jika kita biarkan lumpur itu begitu saja lama kelamaan lumpur yang terlekat pada kita itu akan susah dibersihkan.

Mahu berubah kerana apa dan siapa?

Mari tetapkan dalam diri bahawa perubahan itu adalah kerana Allah dan semata-mata mahukan keredhaanNya sahaja. Sama sekali bukan kerana manusia atau material yang lain. Jika mahu berubah meninggalkan maksiat atau mahu berubah menjadi baik dengan niat kerana Allah, InsyaAllah jika didatangi godaan yang kita tidak sangka, maka kita tetap akan bertahan dengan prinsip perubahan tersebut kerana niat asal kita adalah kerana Allah.

Pesan seorang sahabat, “jika nak perubahan kita itu kekal, marilah kita berubah benar-benar hanya kerna Allah Yang Kekal”.

Mari berubah kerna sayang,

Sayanglah diri kita agar tidak hilang keredhaan Allah kepada diri kita. Bersyukurlah kerana hidayah Allah telah menjengah kita. takut-takut dek kealpaan kita hidayah itu tidak datang buat kali kedua pasti kitalah insan paling rugi.. Setkan dalam minda, nak berubah tak susah !!

1 comment: